Klik player di bawah untuk mendengar siaran CAHAYAFM

Ahad, 28 Disember 2008

ARKIB : 14/12/2008



Apabila alam berbicara

OLEH Rozais Al-Anamy(www.rozaisalanamy.blogspot.com)

GEMURUH bunyi bagai larian kuda Iltschie dan Hatatitla yang dibesarkan di kandang suku Apache Mescalero. Ia menyerbu pantas, menerbangkan debu dan menerbitkan api, menembus ke tengah-tengah warga di kondominium tiga blok, Taman Hillview, Hulu Kelang.
Inilah harinya. Manusia bagai kupu-kupu bertebaran, harta benda bagai bulu yang dihembus. Empat puluh lapan jasad kandas meloloskan diri, akhirnya terpaksa mencium lahad atas dua nama; qadar mubram dan muallaq yang dipersia. Lima belas tahun lalu.

Semenjak tragedi runtuhan yang pertama dan terburuk dalam sejarah Malaysia merdeka yang membentuk igauan ngeri berlaku, saya tidak lagi mempunyai nama lengkap. Ia sirna dalam tanah merah yang meluncur laju dari cerun bukit, membawa bersamanya pohon-pohon agam menghijau. Berpalut dengan batu-batuan, bahagian kenderaan yang musnah dan bangunan yang sujud.

Nama itu hanyut oleh derasnya air yang terjun dari puncak bukit, sekelip mata menukar warna alam kepada rona nestapa. Dan sepatah nama saya bersemadi di suatu sudut bumi; bersama darah, air mata, pekik lolong dan jerit tangis yang bersipongang, dan sekujur jasad yang saya berikan hak memanggil kembaran nama yang tidak pernah saya izin orang lain menyebutnya.
Dua

“Maaf terpaksa menyekat Encik. Sebagai penghuni di sini, bila Encik sedar kejadian ini bermula?” Saya berhenti menapak, membatu di depannya. Wartawan lokasi dari sebuah stesen televisyen tempatan menyua mikrofon.
“Dinihari, tepatnya saya tidak pasti. Saya pelawat, singgah seminggu di sini.” Wartawan muda yang kelihatan kurang terurus itu mengelak daripada sebuah van penyelamat yang hampir menyondol rusuknya.

“Apa perasaan encik menjadi salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh ini, yalah… menjelang raya pula?" Pertanyaan itu gagal menyentuh minat saya.
“Saya datang bercuti ke sini untuk membuktikan kepada warga negara tercinta bahawa alam pun punya suara. Kajian saya tentang kejadian lima belas tahun lalu membuktikannya. Awak masih ingat insiden Highland Towers?” Jawapan yang jauh menyimpang, mempalitkan kerut di dahinya.

“Maaf, saya terpaksa minta diri. Ada janji temu.” Saya mula menapak.
Ada resah terpamer pada wajahnya. Tercungap-cungap meraih kata, mata tunak memandang video rakaman. Suara tidak juga keluar. Saya menyambung tapakan, semakin laju dan menjauh dari lokasi kejadian.
“Prof, prof!” Suara itu sayup-sayup. Saya tidak peduli. Minda saya terisi kenangan Highland Towers.

“Profesor Alam!” Saya hentikan langkah. Memusing badan ke belakang. Wartawan tadi termengah-mengah berlari ke arah saya.
“Maaf, penerbit suruh saya minta nombor telefon Prof.” Kelihatan dia amat berharap.
“Satu lagi, apa komen Prof. tentang kejadian tadi. Apa faktor berlakunya fenomena alam ini, harap Prof. dapat ulas sedikit?” Saya tidak hairan sumber dia mendapat nama saya, tetapi saya sungguh ingin tahu siapa gerangan penerbit Warta Tengahari itu.

“Ia merupakan ekspresi alam. Rajuk alam. Berdasarkan kajian, hujan lebat, pergerakan tanah, bentuk serta struktur tanah dan takungan air di permukaan cerun tidak stabil adalah punca tanah runtuh berlaku.” Saya tidak menyalahkan wartawan itu atas diksi yang digunakan untuk merujuk tragedi ini. Takdir sentiasa menjadi pujukan kepada kebanyakan manusia setiap kali ditimpa bala.
“Jadi Prof...”

Soalannya dapat saya teka dan terus menjawab, “Bermula Disember 1985, sudah 10 kejadian berlaku di kawasan Bukit Antarabangsa. Saya tidak fikir ia kebetulan. Kajian saya selama ini menyangkal kenyataan ia adalah fenomena alam, sebaliknya natijah mencintai kekayaan dengan kecintaan yang luar biasa.”
“Tanyalah pada alam, fahamilah ia dengan jiwa. Pasti kita berjaya memujuknya. “Saya jemu mengulas isu sama setiap kali tragedi serupa berlaku, berpuluh tahun lalu sehinggalah saya pencen dari sebuah menara gading.
Sebelum berlalu, saya sempat bertanya nama penerbit pada wartawan itu. Jawapannya mendetakkan debar. Dejavu bertandang.
Tiga

KAMI sama-sama menjalankan kajian tentang kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku di seluruh dunia. Merangka langkah terbaik untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar memandangkan kejadian berulang ini tidak diambil iktibar penghuni bumi. Satu demi satu kecelakaan mengisi takwim dunia. Tiga siri kejadian di Bukit Antarabangsa sebelum ini belum cukup memanusiakan manusia.

Saya masih ingat, kajian itu mengambil latar masa hujung tahun 1992. Kami menghuni kondominium Highland Towers. Didanai organisasi bukan kerajaan, dianggotai oleh aktivis alam sekitar. Sengaja kami pilih kawasan ini untuk memudahkan urusan kajian, dan berbicara sedekat-dekatnya dengan alam lereng bukit. Kami mahu mengkajinya dengan jiwa.
Usaha inilah mempertemukan saya dengan gadis itu. Dia adalah segaris cahaya dalam zulmat malam. Saya hampir tewas kepada hujahan bahawa siri kejadian berlaku adalah takdir Tuhan, malapetaka atau ujian buat manusia.

“Maaf, saya tidak bersetuju dengan pendapat anda. Jangan sewenangnya
melibatkan takdir dalam kegagalan urusan mentadbir alam. Anda mahu kata Tuhan itu zalim. Anda mahu cakap manusia itu didera oleh tangan yang tidak nampak, begitu?” Peluru pertanyaan bertaburan daripada mulut Ros, menghala tepat ke tempurung akal.
Saya terpempan, kemudian digerak hujah berbaki membalas “bukankah takdir manusia itu di tangan Tuhan? Hey, anda tidak percaya kudrat Tuhan?”

Ros ketawa, beranak pinak. Saya mengesan itu setiap kali hujah saya tidak dipersetujuinya. Dan di hujung tawa, dia selalu menyarankan “Kita bincang lain kali, setuju?” Dan lazimnya saya akur, kerana saya tahu apabila Ros ketawa begitu, itu tanda dia sedang menewaskan marah.
“Terapi. Untuk hilangkan tekanan dan redakan kemarahan.” Alasan itu saya terima dan saya pun turut mempraktikkan. Semenjak itu, tekanan darah saya mula normal.
Hampir setahun berjiran di blok sama, akhirnya kajian kami berjaya ke proses penerbitan. Saya ditugaskan menguruskan hal percetakan, Ros menguruskan kerja-kerja promosi.
Saya masih ingat hari itu, awal pagi 11 Disember 1993. Saya menyelitkan sekeping nota bertinta biru laut di bawah pintu pangsapuri Ros, “Saya ke kilang cetak. Jumpa awak malam nanti.”
Dan kali ini saya memilih untuk menandatangani, tidak menulis nama seperti lazimnya di bawah perkataan “Yang Sama-Sama Menjalankan Tugas”. Namun saya pasti Ros dapat mengeja aksara jawi itu.

Sengaja dia tidak dibangunkan dengan khidmat pesanan ringkas kerana saya ingin memberi peluang rehat kepadanya setelah berjaga hingga dinihari semalam.
Sewaktu keluar dari kilang cetak, renyai mula turun. Saya bergegas ke kereta, bimbang lewat untuk pertemuan malam nanti. Saya yakin Ros sengaja tidak menghubungi saya kerana waktu perjumpaan telah ditetapkan melalui nota.
Tangisan

Saya sampai di kawasan Highland Towers lewat petang. Imej Ros yang terpapar dalam benak pecah berderai oleh gegak gempita tangisan dan raung manusia yang memenuhi sekitar kondominium tiga blok itu. Satu blok sujud ke bumi, bagai kuih lapis dipotong rentas.
Saya melihat matahari digulung dan bintang-bintang jatuh bertaburan. Saya melihat gunung-gunung telah dihilangkan dan unta-unta betina yang sedang mengandung ditinggalkan. Saya lihat lautan bergelombang besar menelan blok pangsapuri yang kami huni, membawa Ros pergi. Manuskrip “Nafas Bumi” usahasama kami menimpa kaki.
Empat

SEJAM berurusan di kilang cetak dan singgah di pejabat sebentar bagi memaklumkan pengurus yang saya akan bercuti sehingga tahun depan., saya kembali ke Bukit Antarabangsa.
Usaha menyelamat masih giat dijalankan. Persekitaran Taman Bukit Mewah bertukar bentuk topografi kini tersenarai dalam sejarah malapetaka dunia.
“Tahun depan Prof., lamanya!” Saya senyum teringat komen pengurus tengahari tadi.
“Tahun depan tak sampai sebulan lagi. Minta bahagian promosi iklankan buku tersebut segera. Jangan sampai tahun depan pula.” Pengurus yang amanah dan jujur itu tersengih-sengih mendengar jawapan saya kepada pertanyaan tanpa tanda soal.
Perasmian buku Apabila Bumi Berbicara akan dirasmikan di tapak runtuhan Highland Towers yang tidak lagi didiami dan telah ditumbuhi semak samun, menjadi mangsa sasaran laku musnah. Sengaja saya pilih lokasi dan tanggal berdarah itu bagi mengingatkan pembaca bahawa alam juga mempunyai jiwa dan nyawa, punyai rajuk tersendiri. Dan rajuknya itu berupa peristiwa yang serupa berlaku di Highland Towers dan Taman Bukit Mewah ini. Hanya latar waktu yang berbeza.

“Kerana alam di mana-mana pun jua berkongsi rasa dan jiwa yang satu. Menanggung citra manusia yang sama walau tidak serupa.” Ujaran Ros sedekad lebih lalu bertandang di relung ingatan. Sewaktu kami menyimpulkan punca kejadian yang berlaku di serata marcapada.
Setiba di kediaman sahabat yang saya tumpangi itu, saya terus mengajaknya tinggal bersama saya pula. Saya percaya kawasan itu masih bahaya untuk dihuni, dan saya tidak mahu kehilangan sahabat yang banyak membantu saya bangun semula mengejar cita-cita sebagai pakar geologi negara setelah terseradung batang wali dan jadam kehidupan selepas pemergian Ros.

Telefon genggam saya berbunyi. “Saya dapat nombor Prof. daripada wartawan lokasi kami. Saya ingin menemui Prof. Sangat-sangat. Ada hal yang ingin dibincangkan.” Suara halus itu meluncur laju, menjelaskan secara rinci sumber maklumat yang dapat saya teka.
Getar suara mengembalikan nostalgia kepada Ros. Suara yang sama, insan berbeza. Saya teruja walaupun amat letih, fizikal dan emosi. Kami janji bertemu di sebuah rendezvous sekitar Ampang, tempat yang selalu saya kunjungi dengan Ros. Lima belas tahun dulu. Dan saya memilihnya hari ini, buat kali pertama setelah meminggirkannya selama waktu itu.
Saya memilih meja berhampiran pagar kayu yang sekelilingnya ditumbuhi bunga- bunga putih. Agar senang saya mencari wanita bertudung ungu, berbaju rona bunga kapas.
Dari kejauhan kelihatan wanita berpakaian serba putih beriringan seorang jejaka mendekati meja saya.

“Saya Maryam Qistina. Ini saya kenalkan, Umar Mukhtar.” Saya menyambut huluran tangan lelaki itu, tanpa genggaman kerana seluruh badan saya dihipnotis tenungan mata wanita di sisi. Penerbit Warta Tengahari TV4 itu mengundang nostalgia.
“Ros!” Mereka duduk selepas melihat saya duduk, yang sebenarnya terhenyak ke kerusi.
“Apa dia, Prof.?” Umar Mukhtar sempat menangkap nama yang terpacul. Maryam Qistina merenung saya, tepat ke hati.

“Kami ingin menemui Prof. atas dua perkara. Urusan perniagaan dan peribadi.” Lelaki itu memulakan, seakan tahu pertanyaannya tidak akan berjawab.
“Saya mewakili sebuah badan bukan kerajaan yang terlibat dalam kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar. Kami berhasrat mewujudkan hubungan sinergi bagi mencapai cita-cita bersama menyedarkan masyarakat tentang kepentingan mematuhi hukum dan sistem alam.” Umar Mukhtar cermat berbicara.

“Kenapa memilih saya?” Saya berjaya mengheret titik fokus ke alam sedar.
“Prinsip syarikat Prof. menepati visi dan misi pertubuhan kami. Kami sangat berharap Prof. bersetuju. Nanti saya kenalkan ahli jawatankuasa lain. Malam ini hanya pendahuluan hasrat kami.” Saya mengangguk kepada Umar Muhktar setelah dia selesai bertutur. Bola mata ke arah Maryam Qistina.

“Keduanya, saya telah lama cari Prof. Untuk ini.” Wanita itu
menghulurkan sebuah diari kusam kepada saya. Tertera di kulitnya tulisan bercetak perak “Maryam Isabella.”
“Kita berpisah dulu. Kami berjanji dengan ayah untuk menziarahi keluarga sahabatnya, mangsa tragedi Taman Bukit Mewah.” Ada penjelasan dalam kenyataan Umar Mukhtar. Saya ditinggalkan dengan sebuah diari bertinta biru laut.
Ruang diari

Saya belek muka pertamanya. Beberapa baris ayat mengisi ruang diari tanggal 1 Januari 1993. Tulisan condong ke kanan itu memaparkan - Hari ini seluruh dunia menyambut tahun baru, sebenarnya mereka menyambut hari lahir saya.
Saya terkedu, menarik nafas dalam-dalam.
Terima kasih atas nama yang awak berikan. Saya menghargainya, sangat-sangat. Hadiah paling istimewa pernah saya terima sempena hari lahir.
Saya membelek lagi.

Minggu depan, Nafas Bumi akan jadi kenyataan. Noktah.
Ros! Saya membelek dengan laju, mencari tarikh 11 Disember sewaktu telefon genggam mengalunkan lagu Berita Kepada Kawan.
“Alam bagai mengerti segala yang terjadi. Apabila Subuh bernafas, dan bumi mengitari matahari pada paksinya. Dan apabila system alam diingkari, bala bencana menghadirkan diri. Bumi terlalu tua untuk menanggung beban keserakahan manusia, Jiwa.” Lancar suara dari dalam talian menerpa gegendang. Tiada sepatah perkataan ditambah atau dikurangkan sebagaimana tercatat dalam diari yang sedang ditatap.
“Saya yakin nama Jiwa dan Alam itu dimiliki jasad yang sama.” Jantung saya semakin laju degupnya.

“Saya dan Umar cuba menjejak Prof. selesai upacara pengkebumian kembar saya, tapi tiada petanda dalam diarinya tentang Prof, kecuali dua patah nama.” Pernyataan itu cukup untuk menjelaskan seribu tanya yang bersarang dalam minda saya. Begitulah Ros yang perahsia.
“Ayah bonda kami kebetulan menziarahi kakak dua jam sebelum kejadian. Mereka bawa sepasang baju putih seperti yang diminta. Kak Bella bercadang mahu pakai untuk majlis perasmian bukunya. Diari tersebut sempat dikirim kepada saya melalui ayah.” Saya sebak mendengar esakan wanita berjarak umur lima belas tahun dengan saya itu.

“Kita jumpa 11 Disember ini. Saya jemput awak dan Umar ke majlis perasmian buku terbaru terbitan syarikat kami, sekaligus perasmian kerjasama syarikat saya dan pertubuhan Umar, setuju?" Saya selitkan nada ceria, sedang jiwa saya sendiri bertubi-tubi ditusuk belati peristiwa lalu.

Dan pada pagi yang ceria, Maryam Qistina serta Umar Mukhtar menerpa saya. “Sebelum perasmian, kami wajibkan Prof. mengesahkan, Jiwa itu nama milik Prof., bukan? Itu paksaan, kalau tidak saya merajuk.” Maryam Qistina tunak merenung iris.
“Dan sebagai balasan, awak wajar jelaskan bagaimana awak dapat mengecam saya.” Saya berjual beli kisah dengannya.
“Dengan jiwa.” Lirih suaranya.

Jawapannya memanah jiwa saya. Perlahan saya hulur sebuah buku terbitan tahun 1993 berkulit putih, dilatari Banjaran Titiwangsa disepuh nafas Subuh.
Saya lihat Maryam Qistina mengusap-usap nama “Maryam Isabella” yang bercop perak, sedikit tersentak melereti nama yang bergandingan dengannya; kemudian mengangkat pandang ke arah saya lalu menyebut “Jiwa Alam?”
Dan pagi ini saya mendapat nama saya kembali.

Tiada ulasan:

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1861.

Dari 'Umar bin Khaththab r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya setiap amal tergantung kepada niat. Dan pahala bagi setiap orang yang beramal diberikan sesuai dengan apa yang diniatkannya. Siapa yang hijrah dengan niat kerana hendak memperoleh keredhaan Allah dan RasulNya, maka pahalanya ada di sisi Allah dan RasulNya. Dan siapa yang hijrah dengan niat hendak memperoleh harta kekayaan (kebanggaan duniawi) atau dengan niat hendak mengahwini seorang perempuan yang dicintainya, maka pahala hijrahnya sesuai dengan niatnya pula.